Monday, November 12, 2018

BAB 1: TOPIK 4: SYARAT MENJADI GURU TUISYEN

Untuk bermula sebagai guru tuisyen tiada pengkhususan yang diperlukan asalkan anda pernah belajar subjek berkenaan dan sanggup belajar silibus terkini. Antara langkah mudah untuk memulakan tuisyen adalah
1.      Mulakan mengajar dengan subjek yang anda sukai atau yang anda rasakan mudah. Contohnya subjek yang pernah anda kuasai masa belajar dahulu.
2.      Sentiasa mengikuti perkembangan dunia pendidikan terkini seperti perubahan silibus. Ini adalah kerana terdapat banyak perubahan dalam dunia pendidikan dari semasa ke semasa. Sentiasa mencari maklumat melalui pelbagai sumber seperti majalah, surat khabar dan sumber yang paling mudah dari internet. Antara bahan yang senang didapati di internet ialah silibus terkini, soalan peperiksaan lepas, nota dan sebagainya yang berkaitan.
3.      Meneliti buku rujukan dan buku latihan terbaru yang terdapat di pasaran. Anda boleh memilih buku yang dirasakan menepati silibus terkini. Dapatkan buku latihan tersebut cuba untuk membuat latihan tersebut. Ini penting supaya kita dapat menguasai topik yang akan diajar nanti.
4.      Mempelajari pelbagai teknik mengajar supaya pelajar akan berasa seronok belajar dengan anda. Apabila mereka seronok, mereka akan memberi perhatian terhadap apa yang anda sedang ajarkan dan akan menunjukkan peningkatan dalam pelajaran.
5.      Sentiasa menghadiri seminar, program dan kursus yang berkaitan dengan bidang ini untuk mengasah kemahiran yang dimiliki dan menambah kenalan dalam bidang yang sama.
6.      Membina hubungan yang baik dengan guru-guru yang mengajar di sekolah untuk mengetahui perkembangan terkini dalam dunia pendidikan. Ini sangat penting supaya kita mengetahui realiti sebenar dunia pendidikan semasa yang mungkin berbeza dengan zaman pendidikan yang pernah kita lalui.
7.      Meniruvasikan cara atau kaedah yang telah dilakukan oleh mentor, pakar atau rakan yang sudah berjaya dalam bidang ini. Ini adalah salah satu cara yang paling mudah untuk anda belajar bagaimana ingin berjaya.
8.      Berada bersama networking yang mempunyai minat yang sama dalam bidang ini supaya kita dapat bertukar-tukar idea dan pengalaman. Selain itu, dapat meningkatkan motivasi diri kita dan supaya lebih berjaya dalam bidang ini.
Kesemua langkah di atas bergantung kepada diri kita sendiri, apa yang penting kita harus bermula dan mengambil tindakan. Daripada permulaan yang anda lakukan, akan membawa anda kepada pengalaman dan kemahiran yang akan sentiasa memberi nilai tambah kepada anda. Apa yang anda rasa sukar pasti akan rasa senang apabila anda berjaya melakukannya.
BINGKISAN:

Pengalaman saya sendiri mengajar adalah ketika saya baru meletak jawatan di sebuah jabatan kerajaan, setelah saya mendapat saya ‘job’ yang pertama saya masih ingat lagi saya ke kedai buku berhampiran dan membeli buku yang berkaitan. Berbekalkan sedikit pengetahuan dan teknik-teknik mengajar yang saya belajar dalam internet, saya memberanikan diri saya untuk mengajar subjek tersebut.  Alhamdulillah, kelas tersebut berjalan dengan lancar dan klien juga berpuas hati dengan pengajaran tersebut. Sebenarnya tidak susah untuk mengajar lebih-lebih lagi apabila tidak melibatkan pelajar yang ramai. Kita dapat fokus pada kelebihan dan kelemahan pelajar tersebut serta membantunya sehingga pelajar tersebut dapat mengatasi kelemahan dan menguasai subjek tersebut. Kita perlu sentiasa berfikiran positif dan memperbaharui niat setiap kali mengajar. Apabila kita telah berusaha sebaik mungkin, yang lain serahkan pada  Allah kerana Dialah tempat kita mengadu dan meminta. Niat untuk membantu pelajar dan ibu bapa kerana Allah, insyaAllah semuanya akan diberkati dan dipermudahkan Allah.

No comments:

Post a Comment