Monday, November 12, 2018

BAB 1: TOPIK 1: TUISYEN KEPERLUAN VS KEHENDAK?

Memetik berita yang dimuatkan dalam Berita Harian bertarikh 11 Februari 2018, ibu bapa kini telah menjadikan tuisyen (kelas tambahan) sebagai satu trend semata-mata kerana mahu anak-anak mereka cemerlang dalam akademik sehingga terlepas pandang peluang untuk mencungkil kemahiran dan kecenderungan lain. Tindakan ini juga tidak selari dengan tujuan tuisyen yang pada peringkat awalnya diperkenalkan sebagai satu keperluan untuk membantu pelajar menguasai kemahiran yang sepatutnya mereka kuasai dalam dunia persekolahan.

Disebabkan adanya trend ibu bapa sekarang yang masih mengukur kejayaan dalam peperiksaan sebagai penanda aras kecemerlangan anak-anak menyebabkan mereka berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke kelas tambahan untuk mencapai tujuan tersebut. Malah ada yang menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen sejak dari umur yang masih awal lagi iaitu ketika masih di prasekolah dan ada di kalangan anak-anak Tahun Satu yang perlu menghadiri lebih daripada satu kelas tuisyen. 

Perkembangan ini menyebabkan timbulnya beberapa pendapat yang menyatakan wujudnya beberapa kesan yang tidak baik seperti merampas masa kanak-kanak bermain dan sebagainya. Namun jika dilihat dari sudut yang positif ini menunjukkan bahawa budaya menuntut ilmu diperingkat awal sudah mula diserap dalam masyarakat kita. Masyarakat mula sedar kepentingan menuntut ilmu di peringkat dini lagi. Ini menyebabkan industri tuisyen di negara ini mula tumbuh dengan pesatnya.

Selain itu, perkembangan dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar seiring dengan perkembangan zaman menyebabkan perlunya kelas tambahan atau tuisyen untuk membantu pelajar menguasai ilmu yang mereka pelajari. Ini adalah disebabkan terdapat beberapa halangan dalam proses pembelajaran di sekolah yang menyebabkan proses pembelajaran tidak berjalan seperti sepatutnya samada disebabkan oleh faktor pelajar itu sendiri mahupun faktor luaran.

Secara amnya, pelajar yang lemah atau yang ketinggalan dalam pelajaran yang memerlukan tuisyen. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan pelajar menghadapi masalah tersebut seperti tidak minat belajar, kurang faham, atau tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas. Sesetengah pelajar, mereka tidak dapat memahami pembelajaran yang melibatkan ramai penyertaan dalam satu-satu masa.

Namun, seperti yang dinyatakan di awal tadi, kini coraknya kian berubah bila pelajar yang dipercayai oleh menguasai pembelajaran dengan baik juga turut diberikan tuisyen agar mereka lebih cemerlang. Kekangan masa dari ibubapa untuk memberi tunjuk ajar kepada anak mereka juga menyebabkan mereka memilih tuisyen sebagai inisiatif untuk membantu anak mereka menguasai ilmu dengan sebaik mungkin.

Selain itu, suasana pembelajaran di kelas tuisyen yang menarik dan unik itu turut menjadikan pelajar berminat menghadirinya. Banyak kelas ini dilengkapi kemudahan moden seperti pendingin hawa, kerusi yang selesa, meja yang baik, dan tandas yang bersih. Ringkasnya, suasana sebegini menjadikan pelajar lebih berminat untuk mendengar penerangan guru tentang sesuatu subjek itu.

Selain itu, suasana pembelajaran di kelas tuisyen juga menjadi faktor penarik keberkesanan kelas tuisyen kepada pelajar. Suasana yang selesa seperti seperti adanya pendingin hawa, kerusi yang selesa, meja yang baik, dan tandas yang bersih menyebabkan fokus pelajar lebih tinggi untuk menerima pembelajaran. Kini, dengan adanya fenomena tuisyen di rumah atau dikenali sebagai Home Tuition menyebabkan pelajar lebih selesa kerana mereka merasa lebih berkeyakinan bila berada dalam persekitaran yang mereka selesa dengannya.


Namun baik tuisyen yang disediakan sekolah, tuisyen berbayar di luar mahupun di rumah pastinya ia memberi impak berbeza kepada pembelajaran pelajar yang menjadi punca utama kenapa industri tuisyen kini bukan lagi menjadi sekadar satu kehendak tapi juga sebagai satu keperluan. Ini tidak menafikan kepentingan peranan institusi pendidikan di negara ini tapi menjadi pelengkap kepada sistem pendidikan itu sendiri. Waima, kelas tuisyen juga banyak dijalankan oleh guru sekolah sendiri, ini secara sendirinya tidak menafikan kepentingan peranan guru sekolah tapi ia menunjukkan bahawa guru tuisyen adalah pelengkap kepada guru sekolah tersebut.

No comments:

Post a Comment