Monday, November 12, 2018

BAB 1: TOPIK 2: POTENSI PERKHIDMATAN TUISYEN

      Pendidikan merupakan antara sektor yang diberi perhatian oleh pelbagai pihak di sesebuah negara terutamanya negara maju dan negara yang sedang membangun. Kerajaan Malaysia contohnya memberikan perhatian yang serius dalam bidang pendidikan apabila memperuntukkan jumlah perbelanjaan yang tinggi dalam belanjawan negara pada setiap tahun, kerana kerajaan menyedari bahawa sektor pendidikan merupakan tunjang utama dalam pembangunan sesebuah negara.

       Kita dapat perhatikan masyarakat terutamanya ibubapa juga turut menitikberatkan hal pendidikan anak-anak mereka. Ramai ibu bapa yang sanggup berhabis duit dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik termasuklah menghantar anak-anak mereka mengikuti tuisyen samada di pusat tuisyen mahupun tuisyen di rumah.

        Ini menjadi faktor utama wujudnya permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan tuisyen. Selain itu, faktor jumlah pelajar yang ramai dalam satu kelas dikebanyakkan sekolah juga menjadi antara sebab lain ibu bapa menghantar anak-anak mereka mengikuti tuisyen kerana ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada fokus pembelajaran anak-anak mereka.

       Permintaan yang tinggi ini mendorong ramai guru mahupun lulusan dari bidang bukan perguruan menawarkan perkhidmatan ini. Scenario ini dapat dilihat dengan kewujudan banyak pusat tuisyen yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan bermula dari peringkat paling rendah iaitu dari pra sekolah hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Perkhidmatan ini menjadi semakin rancak apabila ada pihak yang menawarkan perkhidmatan tuisyen bergerak dari rumah ke rumah yang memberi pilihan kepada ibu bapa terutama mereka yang mempunyai kekangan masa untuk menghantar dan mengambil anak-anak dari pusat tuisyen. Kadar yuran atau caj yang dikenakan biasanya bergantung kepada tahap, subjek, lokasi, jarak perjalanan dan samada ia diadakan secara individu atau berkumpulan.

      Perkhidmatan tuisyen juga dikatakan menjadi salah satu perkhidmatan berlubuk emas lantaran permintaan yang tinggi ini dan juga disebabkan kerana kos yang terlibat adalah rendah dan mampu memberi pulangan yang cepat. Selain itu, ianya salah satu industri yang memberikan pulangan pelaburan yang lebih cepat berbanding perniagaan lain, sekitar enam bulan bergantung kepada lokasi dan sewa sesebuah premis. Ini adalah kerana pembukaan sesebuah pusat tuisyen tidak melibatkan jumlah pelaburan tinggi disebabkan tiada kos bahan mentah dan sebagainya. Premis, meja, kerusi, serta kemudahan seperti pendingin hawa dan surau bagi memberi keselesaan kepada pelajar dan tutor adalah antara yang diperlukan. Tambahan pula, kadar sewa biasanya lebih rendah kerana pengusaha pusat tuisyen selalu menyewa di tingkat atas bangunan.

      Bagi Home Tution pula, modal yang diperlukan adalah hanya ilmu dan kemahiran. Modal material pula hanyalah seperti buku rujukan dan buku latihan untuk rujukan tutor kerana bahan untuk pelajar akan ditanggung oleh ibubapa. Kosnya yang sangat rendah, menyebabkan ramai pelajar universiti terutamanya menjadikan kerjaya ini sebagai kerja sampingan mereka. Hal ini menjadi semakin meluas apabila ada golongan professional yang turut melibatkan diri dalam bidang tuisyen ini samada secara part-time dan ada dikalangan mereka yang sanggup berhenti kerja dan melakukannya secara sepenuh masa apabila menyedari potensi yang besar dalam industri ini.

Industri tuisyen samada secara pusat tuisyen atau secara personal (Home tutor) merupakan satu industri perniagaan yang kian mendapat sambutan dan kian berkembang pada masa kini. Semoga kita yang membaca buku ini mampu mengikut arus yang dibawa oleh kemajuan industri ini.

No comments:

Post a Comment