Monday, November 12, 2018

BAB 1: TOPIK 1: TUISYEN KEPERLUAN VS KEHENDAK?

Memetik berita yang dimuatkan dalam Berita Harian bertarikh 11 Februari 2018, ibu bapa kini telah menjadikan tuisyen (kelas tambahan) sebagai satu trend semata-mata kerana mahu anak-anak mereka cemerlang dalam akademik sehingga terlepas pandang peluang untuk mencungkil kemahiran dan kecenderungan lain. Tindakan ini juga tidak selari dengan tujuan tuisyen yang pada peringkat awalnya diperkenalkan sebagai satu keperluan untuk membantu pelajar menguasai kemahiran yang sepatutnya mereka kuasai dalam dunia persekolahan.

Disebabkan adanya trend ibu bapa sekarang yang masih mengukur kejayaan dalam peperiksaan sebagai penanda aras kecemerlangan anak-anak menyebabkan mereka berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke kelas tambahan untuk mencapai tujuan tersebut. Malah ada yang menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen sejak dari umur yang masih awal lagi iaitu ketika masih di prasekolah dan ada di kalangan anak-anak Tahun Satu yang perlu menghadiri lebih daripada satu kelas tuisyen. 

Perkembangan ini menyebabkan timbulnya beberapa pendapat yang menyatakan wujudnya beberapa kesan yang tidak baik seperti merampas masa kanak-kanak bermain dan sebagainya. Namun jika dilihat dari sudut yang positif ini menunjukkan bahawa budaya menuntut ilmu diperingkat awal sudah mula diserap dalam masyarakat kita. Masyarakat mula sedar kepentingan menuntut ilmu di peringkat dini lagi. Ini menyebabkan industri tuisyen di negara ini mula tumbuh dengan pesatnya.

Selain itu, perkembangan dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar seiring dengan perkembangan zaman menyebabkan perlunya kelas tambahan atau tuisyen untuk membantu pelajar menguasai ilmu yang mereka pelajari. Ini adalah disebabkan terdapat beberapa halangan dalam proses pembelajaran di sekolah yang menyebabkan proses pembelajaran tidak berjalan seperti sepatutnya samada disebabkan oleh faktor pelajar itu sendiri mahupun faktor luaran.

Secara amnya, pelajar yang lemah atau yang ketinggalan dalam pelajaran yang memerlukan tuisyen. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan pelajar menghadapi masalah tersebut seperti tidak minat belajar, kurang faham, atau tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas. Sesetengah pelajar, mereka tidak dapat memahami pembelajaran yang melibatkan ramai penyertaan dalam satu-satu masa.

Namun, seperti yang dinyatakan di awal tadi, kini coraknya kian berubah bila pelajar yang dipercayai oleh menguasai pembelajaran dengan baik juga turut diberikan tuisyen agar mereka lebih cemerlang. Kekangan masa dari ibubapa untuk memberi tunjuk ajar kepada anak mereka juga menyebabkan mereka memilih tuisyen sebagai inisiatif untuk membantu anak mereka menguasai ilmu dengan sebaik mungkin.

Selain itu, suasana pembelajaran di kelas tuisyen yang menarik dan unik itu turut menjadikan pelajar berminat menghadirinya. Banyak kelas ini dilengkapi kemudahan moden seperti pendingin hawa, kerusi yang selesa, meja yang baik, dan tandas yang bersih. Ringkasnya, suasana sebegini menjadikan pelajar lebih berminat untuk mendengar penerangan guru tentang sesuatu subjek itu.

Selain itu, suasana pembelajaran di kelas tuisyen juga menjadi faktor penarik keberkesanan kelas tuisyen kepada pelajar. Suasana yang selesa seperti seperti adanya pendingin hawa, kerusi yang selesa, meja yang baik, dan tandas yang bersih menyebabkan fokus pelajar lebih tinggi untuk menerima pembelajaran. Kini, dengan adanya fenomena tuisyen di rumah atau dikenali sebagai Home Tuition menyebabkan pelajar lebih selesa kerana mereka merasa lebih berkeyakinan bila berada dalam persekitaran yang mereka selesa dengannya.


Namun baik tuisyen yang disediakan sekolah, tuisyen berbayar di luar mahupun di rumah pastinya ia memberi impak berbeza kepada pembelajaran pelajar yang menjadi punca utama kenapa industri tuisyen kini bukan lagi menjadi sekadar satu kehendak tapi juga sebagai satu keperluan. Ini tidak menafikan kepentingan peranan institusi pendidikan di negara ini tapi menjadi pelengkap kepada sistem pendidikan itu sendiri. Waima, kelas tuisyen juga banyak dijalankan oleh guru sekolah sendiri, ini secara sendirinya tidak menafikan kepentingan peranan guru sekolah tapi ia menunjukkan bahawa guru tuisyen adalah pelengkap kepada guru sekolah tersebut.

BAB 1: TOPIK 2: POTENSI PERKHIDMATAN TUISYEN

      Pendidikan merupakan antara sektor yang diberi perhatian oleh pelbagai pihak di sesebuah negara terutamanya negara maju dan negara yang sedang membangun. Kerajaan Malaysia contohnya memberikan perhatian yang serius dalam bidang pendidikan apabila memperuntukkan jumlah perbelanjaan yang tinggi dalam belanjawan negara pada setiap tahun, kerana kerajaan menyedari bahawa sektor pendidikan merupakan tunjang utama dalam pembangunan sesebuah negara.

       Kita dapat perhatikan masyarakat terutamanya ibubapa juga turut menitikberatkan hal pendidikan anak-anak mereka. Ramai ibu bapa yang sanggup berhabis duit dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik termasuklah menghantar anak-anak mereka mengikuti tuisyen samada di pusat tuisyen mahupun tuisyen di rumah.

        Ini menjadi faktor utama wujudnya permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan tuisyen. Selain itu, faktor jumlah pelajar yang ramai dalam satu kelas dikebanyakkan sekolah juga menjadi antara sebab lain ibu bapa menghantar anak-anak mereka mengikuti tuisyen kerana ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada fokus pembelajaran anak-anak mereka.

       Permintaan yang tinggi ini mendorong ramai guru mahupun lulusan dari bidang bukan perguruan menawarkan perkhidmatan ini. Scenario ini dapat dilihat dengan kewujudan banyak pusat tuisyen yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan bermula dari peringkat paling rendah iaitu dari pra sekolah hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Perkhidmatan ini menjadi semakin rancak apabila ada pihak yang menawarkan perkhidmatan tuisyen bergerak dari rumah ke rumah yang memberi pilihan kepada ibu bapa terutama mereka yang mempunyai kekangan masa untuk menghantar dan mengambil anak-anak dari pusat tuisyen. Kadar yuran atau caj yang dikenakan biasanya bergantung kepada tahap, subjek, lokasi, jarak perjalanan dan samada ia diadakan secara individu atau berkumpulan.

      Perkhidmatan tuisyen juga dikatakan menjadi salah satu perkhidmatan berlubuk emas lantaran permintaan yang tinggi ini dan juga disebabkan kerana kos yang terlibat adalah rendah dan mampu memberi pulangan yang cepat. Selain itu, ianya salah satu industri yang memberikan pulangan pelaburan yang lebih cepat berbanding perniagaan lain, sekitar enam bulan bergantung kepada lokasi dan sewa sesebuah premis. Ini adalah kerana pembukaan sesebuah pusat tuisyen tidak melibatkan jumlah pelaburan tinggi disebabkan tiada kos bahan mentah dan sebagainya. Premis, meja, kerusi, serta kemudahan seperti pendingin hawa dan surau bagi memberi keselesaan kepada pelajar dan tutor adalah antara yang diperlukan. Tambahan pula, kadar sewa biasanya lebih rendah kerana pengusaha pusat tuisyen selalu menyewa di tingkat atas bangunan.

      Bagi Home Tution pula, modal yang diperlukan adalah hanya ilmu dan kemahiran. Modal material pula hanyalah seperti buku rujukan dan buku latihan untuk rujukan tutor kerana bahan untuk pelajar akan ditanggung oleh ibubapa. Kosnya yang sangat rendah, menyebabkan ramai pelajar universiti terutamanya menjadikan kerjaya ini sebagai kerja sampingan mereka. Hal ini menjadi semakin meluas apabila ada golongan professional yang turut melibatkan diri dalam bidang tuisyen ini samada secara part-time dan ada dikalangan mereka yang sanggup berhenti kerja dan melakukannya secara sepenuh masa apabila menyedari potensi yang besar dalam industri ini.

Industri tuisyen samada secara pusat tuisyen atau secara personal (Home tutor) merupakan satu industri perniagaan yang kian mendapat sambutan dan kian berkembang pada masa kini. Semoga kita yang membaca buku ini mampu mengikut arus yang dibawa oleh kemajuan industri ini.

BAB 1: TOPIK 3: HOME TUITION VS TUITION CENTER

Definisi 

Tuition bermaksud kelas bimbingan atau tuisyen. Biasanya tuisyen dijalankan di luar dari waktu pembelajaran formal.  Home Tuition bermaksud kelas tuisyen yang dijalankan di rumah. Biasanya dijalankan di rumah  pelajar, namun ada juga yang dilakukan di rumah guru. Bilangan pelajar dalam  satu masa adalah  tidak ramai samada seorang atau  paling ramai jika dilakukan dalam kumpulan  kecil,  tidak melebihi lima orang.  Home tutor pula merupakan seseorang yang mengajar atau membimbing seseorang pelajar atau  murid di rumah pelajar berkenaan dan terdapat juga situasi ia berlaku di rumah guru atau tutor berkenaan.

Tuition Center atau pusat tuisyen merupakan satu tempat bimbingan yang juga dijalankan di luar dari waktu pembelajaran. Pusat tuisyen konsepnya lebih kurang sama dengan sekolah tetapi biasanya pusat tuisyen mampu untuk menyediakan  kelas dan suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif untuk para pelajar mereka. Hal ini  memberi keselesaan kepada para pelajar dan membantu mereka untuk lebih fokus terhadap proses pembelajaran. Keadaan di kelas tuiayen juga agak terkawal kerana jumlah bilangan pelajar dalam satu masa tidak seramai semasa di sekolah. Tuition Center Tutor pula merupakan tenaga pengajar yang dibayar oleh pusat tuisyen berkenaan untuk mengajar di sana. Biasanya tutor pusat tuisyen akan dibayar ikut jam berdasarkan kelayakan dan pengalaman yang mereka ada.
Kebaikan dan kekurangan Home Tuition
Home tuition terwujud untuk membantu pelajar yang lemah dalam menguasai sesuatu subjek. Salah satu konsep unik tuisyen jenis ini ialah pembelajaran dan pengajaran berlaku secara individu atau one-to-one. Seorang guru atau tutor tuisyen subjek tertentu biasanya memberikan komitmen hanya seorang atau tidak melebihi lima orang dalam satu masa. Pengajaran dan pembelajaran secara one-on-one dalam home tuition memang banyak kelebihan dan kebaikannya. Antara kelebihannya ialah:
BIMBINGAN PEMBELAJARAN BERFOKUSKAN INDIVIDU

Melalui pembelajaran secara Home Tuition, tumpuan dapat diberikan kepada pelajar secara individu. Pembelajaran berfokuskan individu ini akan membantu mengukuhkan pemahaman pelajar dengan lebih baik. Ini adalah kerana guru akan betul-betul fokus pada kelemahan pelajar berkenaan. Berbeza dengan pembelajaran di sekolah, konsep pembelajaran dilakukan secara umum. Pengajaran dan pembelajaran juga adalah berdasarkan keperluan dan kehendak pelajar berkenaan. Ini akan memberikan keyakinan kepada pelajar berkenaan dan seterusnya membantu mereka memahami apa yang diajarkan kepada mereka.

            Suasana ini wujud kerana terdapat pelajar yang tidak dapat menyesuaikan diri mereka menggunakan kaedah belajar secara ramai-ramai di sekolah. Menyebabkan mereka merasa susah dan sukar untuk memahami apa yang di ajar oleh guru. Setiap pelajar mereka mempunyai kaedah pembelajaran yang berbeza antara satu sama lain. Biasanya, guru tuisyen akan menggunakan kaedah yang berbeza untuk mengenalpasti kebolehan dan kelemahan pelajar. Ini senang dilakukan kerana bilangan pelajar yang tidak ramai.

MEMUDAHKAN IBU BAPA / PENJAGA

Home Tuition dapat membantu meringankan ibu bapa dalam pelbagai aspek. Ibu bapa  boleh menjimatkan kos pengangkutan mereka. Jika menggunakan khidmat pusat tuisyen, ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak setiap masa dan semestinya ini memakan kos yang tinggi, tambahan, jika pusat tuisyen berkenaan jauh dari tempat kediaman. Jika menggunakan perkhidmatan home tuition, tutor yang akan datang ke rumah.

Selain itu, ibu bapa boleh memantau dengan lebih dekat bagaimana anak mereka di ajar dan bagaimana proses pembelajaran tersebut berlaku. Hasil yang mereka laburkan dapat mereka nilai sendiri samada ia berbaloi atau sebaliknya, berbeza apabila mereka menghantar anak-anak ke pusat tuisyen, mereka tidak dapat mengukur sejauhmana pelaburan mereka berbaloi kerana proses tersebut tidak berlaku di depan mata mereka.

Ibu bapa juga boleh memantau anak-anak jika tuisyen yang dijalankan di rumah mereka sendiri. Ini boleh mengelakkan risiko berlakunya kemalangan atau kecederaan terutamanya apabila waktu rehat atau sepanjang tempoh menunggu ibubapa datang mengambil anak-anak di pusat tuisyen. Ini adalah kerana kini terdapat keperluan untuk menghantar anak-anak tuiysen seawal yang mungkin dari usia 6-7 tahun untuk mengukuhkan atau memperkasakan pengetahuan asas anak-anak. Dalam peringkat usia ini pastinya aspek keselamatan yang paling utama untuk mereka.

Masa yang ditetapkan juga lebih fleksibel dan mengikut kesesuaian ibu bapa. Ini mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa pada masa sekarang berkaitan masa. Jika ada hal yang penting, ia dapat diubah suai mengikut kesesuaian ibu bapa dengan persetujuan guru tuisyen tersebut, dan ini mengurangkan kerugian bagi ibu bapa.


BAB 1: TOPIK 4: SYARAT MENJADI GURU TUISYEN

Untuk bermula sebagai guru tuisyen tiada pengkhususan yang diperlukan asalkan anda pernah belajar subjek berkenaan dan sanggup belajar silibus terkini. Antara langkah mudah untuk memulakan tuisyen adalah
1.      Mulakan mengajar dengan subjek yang anda sukai atau yang anda rasakan mudah. Contohnya subjek yang pernah anda kuasai masa belajar dahulu.
2.      Sentiasa mengikuti perkembangan dunia pendidikan terkini seperti perubahan silibus. Ini adalah kerana terdapat banyak perubahan dalam dunia pendidikan dari semasa ke semasa. Sentiasa mencari maklumat melalui pelbagai sumber seperti majalah, surat khabar dan sumber yang paling mudah dari internet. Antara bahan yang senang didapati di internet ialah silibus terkini, soalan peperiksaan lepas, nota dan sebagainya yang berkaitan.
3.      Meneliti buku rujukan dan buku latihan terbaru yang terdapat di pasaran. Anda boleh memilih buku yang dirasakan menepati silibus terkini. Dapatkan buku latihan tersebut cuba untuk membuat latihan tersebut. Ini penting supaya kita dapat menguasai topik yang akan diajar nanti.
4.      Mempelajari pelbagai teknik mengajar supaya pelajar akan berasa seronok belajar dengan anda. Apabila mereka seronok, mereka akan memberi perhatian terhadap apa yang anda sedang ajarkan dan akan menunjukkan peningkatan dalam pelajaran.
5.      Sentiasa menghadiri seminar, program dan kursus yang berkaitan dengan bidang ini untuk mengasah kemahiran yang dimiliki dan menambah kenalan dalam bidang yang sama.
6.      Membina hubungan yang baik dengan guru-guru yang mengajar di sekolah untuk mengetahui perkembangan terkini dalam dunia pendidikan. Ini sangat penting supaya kita mengetahui realiti sebenar dunia pendidikan semasa yang mungkin berbeza dengan zaman pendidikan yang pernah kita lalui.
7.      Meniruvasikan cara atau kaedah yang telah dilakukan oleh mentor, pakar atau rakan yang sudah berjaya dalam bidang ini. Ini adalah salah satu cara yang paling mudah untuk anda belajar bagaimana ingin berjaya.
8.      Berada bersama networking yang mempunyai minat yang sama dalam bidang ini supaya kita dapat bertukar-tukar idea dan pengalaman. Selain itu, dapat meningkatkan motivasi diri kita dan supaya lebih berjaya dalam bidang ini.
Kesemua langkah di atas bergantung kepada diri kita sendiri, apa yang penting kita harus bermula dan mengambil tindakan. Daripada permulaan yang anda lakukan, akan membawa anda kepada pengalaman dan kemahiran yang akan sentiasa memberi nilai tambah kepada anda. Apa yang anda rasa sukar pasti akan rasa senang apabila anda berjaya melakukannya.
BINGKISAN:

Pengalaman saya sendiri mengajar adalah ketika saya baru meletak jawatan di sebuah jabatan kerajaan, setelah saya mendapat saya ‘job’ yang pertama saya masih ingat lagi saya ke kedai buku berhampiran dan membeli buku yang berkaitan. Berbekalkan sedikit pengetahuan dan teknik-teknik mengajar yang saya belajar dalam internet, saya memberanikan diri saya untuk mengajar subjek tersebut.  Alhamdulillah, kelas tersebut berjalan dengan lancar dan klien juga berpuas hati dengan pengajaran tersebut. Sebenarnya tidak susah untuk mengajar lebih-lebih lagi apabila tidak melibatkan pelajar yang ramai. Kita dapat fokus pada kelebihan dan kelemahan pelajar tersebut serta membantunya sehingga pelajar tersebut dapat mengatasi kelemahan dan menguasai subjek tersebut. Kita perlu sentiasa berfikiran positif dan memperbaharui niat setiap kali mengajar. Apabila kita telah berusaha sebaik mungkin, yang lain serahkan pada  Allah kerana Dialah tempat kita mengadu dan meminta. Niat untuk membantu pelajar dan ibu bapa kerana Allah, insyaAllah semuanya akan diberkati dan dipermudahkan Allah.

BAB 1: TOPIK 5: KELEBIHAN SEBAGAI GURU TUISYEN

1.      Permintaan Yang Tinggi
Statistik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan ada lebih daripada 5 juta orang pelajar sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Ini menunjukkan jumlah prospek yang ramai dalam kategori umur ni, tambahan lagi ibu bapa sekarang ramai yang berkerjaya yang menyebabkan mereka mampu untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen mahupun mengambil tutor peribadi datang ke rumah. Perkembangan ini menyebabkan permintaan terhadap tuisyen semakin tinggi dari semasa ke semasa.
2.         Kepuasan Diri Yang Tinggi
Seorang guru tuisyen akan sentiasa membantu pelajar mereka dalam matapelajaran yang lemah. Ini merupakan kelebihan bagi seorang guru tuisyen apabila pelajar berkenaan mengalami peningkatan dan mencapai kecemerlangan dalam subjek yang dipelajari. Bagi home tutor, anda dengan mudahnya dapat menyesuaikan diri dalam sesi pengajaran kerana pelajar anda hanya seorang atau 2-3 orang. Ia lebih mudah berbanding mengajar dalam kelas yang ramai. Menjadi guru tuisyen juga membantu anda lebih fokus pada sesi pembelajaran dan lebih fokus pada kelemahan pelajar. Nikmat mengajar akan dapat anda rasai kerana anda dapat mengikuti perkembangan atau perubahan yang berlaku dalam setiap pelajar yang anda ajari. Apabila pelajar anda dapat mempertingkatkan dirinya ke arah yang lebih baik, ia merupakan kepuasan yang sukar digambarkan dan menyeronokkan bagi seorang pendidik. Jika mereka cemerlang, anda akan merasakan ia amat berbaloi dengan usaha yang anda lakukan.
3.         Pengurusan Masa Yang Fleksibel Dan Bebas
Faktor ini yang menyebabkan ramai di kalangan guru tuisyen yang ada sekarang mencebur diri dalam bidang ini sepenuh masa. Mereka mempunyai kebebasan dalam menentukan jadual mereka sendiri dan menyusun sendiri masa yang sesuai untuk mengajar. Berbeza dengan makan gaji, mereka tidak mempunyai pilihan melainkan mengikut apa yang ditentukan oleh majikan.  Masa yang ada dapat mereka luangkan bersama keluarga, rakan-rakan serta melakukan aktiviti yang mereka sukai
4.         Menjana Pendapatan Dengan Mudah
Melibatkan diri dalam bidang tuisyen tidak memerlukan modal yang tinggi. Anda tidak perlu membuat sebarang pinjaman. Modal yang diperlukan adalah ilmu dan pengalaman untuk memulakan sesi pembelajaran. Tidak dapat dinafikan, jumlah elaun per jam yang diperolehi dengan mengajar tuisyen adalah antara yang tertinggi berbanding pekerjaan lain. Anda tidak perlu bekerja 8 jam atau lebih seperti anda bekerja makan gaji untuk memperolehi gaji yang sama. Namun, jika anda bekerja lebih masa, maka gaji yang anda perolehi juga pasti lebih. Kerjaya ini amat sesuai dilakukan oleh sesiapa sahaja hatta orang yang makan gaji sekalipun sebagai pendapatan tambahan.
5.         Kurang Tekanan Semasa Bekerja

Jika kita lihat, ramai yang mengalami tekanan di tempat kerja. Mungkin kerana bebanan kerja yang sangat tinggi terutamanya dalam bidang perguruan. Baru-baru ini kajian menunjukkan guru adalah di antara yang banyak menghadapi tekanan semasa bekerja lantaran kerana dibebani dengan pelbagai kerja pentadbiran seperti mengutip yuran, menjaga buku teks, menjadi penasihat kelab atau sukan, menjadi guru kelas, menjaga disiplin pelajar dan banyak lagi  Ini menyebabkan ada di kalangan mereka yang menghadapi tekanan. Apabila mengajar tuisyen, anda hanya fokus untuk mendidik sahaja dan anda tidak perlu terlibat dengan tugas pentadbiran terutamanya bagi yang melakukan home tuition begitu juga dengan yang bekerja dengan pusat tuisyen. Biasanya diasingkan tugas mengajar dengan tugas pentadbiran.

BAB 2: TOPIK 1: KELEBIHAN DAN KEBAIKAN HOME TUTOR

Topik 1: Kelebihan dan Kebaikan sebagai Home Tutor


Home tutor atau dalam kata lain guru tuisyen persendirian atau guru peribadi merupakan keadaan di mana anda hanya mengajar anak murid dalam bilangan yang kecil. Home tutor juga bermakna anda memiliki masa dan ruang anda sendiri sama ada anda bergerak sendiri atau melalui agen. Jika anda memulakan sendiri, bermakna anda terlibat secara langsung dalam semua urusan bermula dari mencari pelajar sehinggalah kelas berjalan. Berbeza jika anda menjadi home tutor melalui agen, anda hanya perlu pandai mempromosi diri anda sehingga ibu bapa atau pihak ejen menerima anda untuk job yang ditawarkan.
Kelebihan untuk anda sebagai home tutor begitu banyak walaupun anda bergerak sendiri atau melalui agen. Kelebihannya sudah banyak dihuraikan dalam bab sebelum ini. Di sini dinyatakan lagi beberapa kelebihan yang lain.
1.         Masa yang fleksibel
Jika anda berkerja dengan majikan anda terikat dengan segala peraturan yang telah ditetapkan. Anda harus patuh pada sistem yang ada. Berbeza jika anda berkerja sendiri, anda yang boleh mengatur jadual anda sendiri. Ini termasuklah jika anda melakukan home tuition ini samada secara separuh masa atau sepenuh masa, samada secara sendirian mahupun melaui agen. Biasanya kelas tuisyen akan bermula selepas waktu persekolahan iaitu selepas jam 2 petang, pada waktu malam dan hujung minggu. Anda mempunyai kebebasan dalam menentukan jadual anda sendiri dan menyusun sendiri masa yang sesuai untuk mengajar. Anda dapat mengagihkan masa yang dapat anda luangkan bersama keluarga, rakan-rakan serta melakukan aktiviti yang anda sukai. Anda juga tidak perlu mengejar masa yang ditetapkan oleh majikan.
2.         Kurang tekanan kerja
Bekerja sendiri bermakna anda bebas untuk menentukan bagaimana anda bekerja. Anda tidak perlu berhadapan dengan karenah birokrasi contohnya. Bagi yang mengajar tuisyen disebabkan minat, anda dapat melakukan perkara yang disukai dan diminati sambil menjana pendapatan sendiri. Tidak ramai individu yang mendapat peluang sebegini. Anda juga tidak akan terperangkap dengan kesesakan lalu lintas kerana kerjaya ini biasanya berlaku di luar waktu puncak.
1.      Industri yang berpotensi tinggi
Pasaran industri ini semakin meningkat dan akan terus membangun. Permintaan dari ibu bapa akan terus meningkat memandangkan pendidikan adalah satu industri yang menjadi keutamaan dalam sesebuah negara. Bila permintaan yang tinggi, maka ia boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan atau sebagai pendapatan tambahan terutamanya ketika ekonomi sedang meleset.
3.         Kepuasan diri
Kepuasan diri dapat dicapai apabila kita akan mengajar murid atau pelajar secara one to one kerana kita dapat mengikuti perkembangan pelajar secara menyeluruh. Kita akan dapat mengesan kelemahan pelajar dalam subjek yang kita ajar. Kita akan cuba mencari kaedah yang terbaik untuk pelajar kita. Apabila kita mengetahui kaedah yang sesuai untuk mereka dan mereka berjaya, kita akan merasa kepuasannya.
6.         Seronok dengan tingkahlaku pelajar yang pelbagai   
Bagi mereka yang memang minat mengajar, anda akan terhibur dengan pelbagai telatah pelajar yang pelbagai. Di sini anda mampu menguji sejauh mana anda mampu membantu mereka.






BAB 2: TOPIK 2: CARA PERLAKSANAAN HOME TUITION

Perlaksanaan home tuition adalah berbeza antara seorang tutor dengan tutor yang lain. Apa yang diberikan dalam buku ini adalah berdasarkan pengalaman penulis dan juga kawan-kawan penulis yang berkecimpung dalam bidang ini. Berikut adalah panduan bagi yang baru bermula, bila anda sudah menerima tawaran daripada mana-mana ibu bapa.

  •  Membuat temu janji pertama dengan ibu bapa.

Biasanya ibu bapa akan menjemput anda untuk membincangkan lebih lanjut tentang perkhidmatan yang anda tawarkan. Soalan yang biasa akan ditanya ialah harga, penyediaan buku atau bahan pembelajaran dan bagaimana anak meraka akan di ajar. Namun, terdapat ibu bapa yang hanya berurusan melalui mesej sahaja dan bersetuju melalui mesej sahaja.

  • 2.      Kelas pertama dengan pelajar.

Hal ini terpulang kepada tutor itu sendiri. Ada tutor yang menawarkan kelas percubaan untuk memastikan pelajar boleh mengikutinya atau tidak. Ada yang menawarkannya sebagai percuma atau sebagai. Namun, jika melalui ejen tutor akan melalui proses ini. Jika ibu bapa tidak bersetuju, tutor lain akan menggantikan tutor tersebut. Bagi penulis, kebanyakkan job hanya melalui mesej sahaja.

  •      Membuat rancangan pembelajaran

Rancangan pembelajaran dapat dibuat berdasarkan markah peperiksaan pelajar berkenaaan. Selain itu, boleh juga gunakan buku aktiviti pelajar sebagai rujukan. Melalui markah peperiksaan kita boleh agak tahap mana pengetahuan pelajar berkenaan.

  • 4.      Menyediakan bahan pembelajaran.

Bahan yang disediakan perlu mengikut tahap pengetahuan pelajar berkenaan. Kebiasaannya hanya tutor perlu mencari buku yang disediakan di pasaran. Dapatkan buku terkini supaya tidak ketinggalan silibus. Terdapat juga buku yang disediakn oleh ibu bapa dan tutor perlu mengejar menggunakan buku yang disediakan oleh ibu bapa berkenaan.

  • 5.      Perjalanan semasa kelas berlangsung

Sesi pertama kelas, sebaiknya dimulakan dengan perkenalan dengan pelajar dengan tujuan mewujudkan kemesraan agar kelas dapat dilakukan dengan baik. Kemudian,diterangkan tentang topik yang akan diajar kemudian, diikuti dengan sesi menjawab soalan untuk mengetahui sejauhmana pelajar faham tentang topik yang telah diajar.